MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS

15 September 2009

ASAL-USUL BAHASA MELAYU

Apabila kita ingin mengetahui asal usul sesuatu bahasa, kita perlu mengetahui asal bangsa yang menjadi penutur utama bahasa tersebut. Hal ini demikian adalah kerana bahasa itu dilahirkan oleh sesuatu masyarakat penggunanya dan pengguna bahasa itu membawa bahasanya ke mana pun ia pergi. Demikianlah juga halnya dengan bahasa Melayu. Apabila kita ingin mengetahui asal usul bahasa Melayu, maka kita perlu menyusurgaluri asal usul bangsa Melayu.

Walaupun sudah ada beberapa kajian dilakukan terhadap asal usul bangsa Melayu, tetapi kata sepakat para ahli belum dicapai. Setakat ini ada dua pandangan yang dikemukakan. Pandangan yang pertama menyatakan bahawa bangsa Melayu berasal dari utara iaitu Asia Tengah dan pandangan yang kedua menyatakan bahawa bangsa Melayu memang sudah sedia ada di Kepulauan Melayu atau Nusantara ini.

2.1.1 Bahasa Melayu Berasal Dari Nusantara

Menurut Nik Safiah Karim (1986 : 1), terdapat beberapa teori telah mengatakan bahawa penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan manusia yang diberi nama Austronesia. Golongan manusia ini datang dari daerah Yunan dan telah turun dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia dan menduduki wilayah Asia.Buktinya ialah pergerakan manusia ini berlaku sejak tahun 2500 sebelum Masihi iaitu dengan kedatangan golongan pertama yang disebut Melayu Proto.Gelombang yang kedua, golongan yang disebut Melayu Deutro. Secara ringkasnya terdapat perkaitan antara pergerakan gelombang manusia dengan bahasa kerana masyarakat Austronesia tersebar luas di seluruh kepulauan Melayu dan Lautan Pasifik.

Nik Safiah Karim ( 1986 : 2 ) juga telah mengatakan bahawa bahasa Melayu tergolong dalam cabang Nusantara dalam keluarga Austronesia. Cabang Nusantara mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak, iaitu kira-kira 200-300. Oleh yang demikian bahasa-bahasa ini dapat dibahagikan kepada golongan tertentu seperti golongan Filipina, Sumatera dan banyak lagi.

Gorys Keraf ( 1984:184-201) pula berpendapat bahawa bangsa Melayu memang berasal dari kepulauan Melayu atau Nusantara. Beliau menyatakan bahawa bangsa Melayu sudah sedia ada di kepulauan Melayu dan mereka menuturkan bahasa keluarga Nusantara. Menurut beliau negeri asal orang Melayu ialah daerah Indonesia dan Filipina.

J.Crawfurd ialah seorang sarjana Inggeris telah membuat kajian perbandingan bahasa yang ada di Sumatera, Jawa, Kalimantan, dan kawasan Polinesia. Beliau berpendapat bahawa asal bahasa yang tersebar di Nusantara ini berasal daripada bahasa di Pulau Jawa iaitu bahasa Jawa dan bahasa yang berasal dari Pulau Sumatera atau bahasa Melayu. Bahasa Jawa dan bahasa Melayulah yang merupakan induk bagi bahasa serumpun yang terdapat di Nusantara ini.

Sehubungan itu, J.Crawfurd juga telah menambah hujahnya dengan bukti bahawa bangsa Melayu dan bangsa Jawa telah memiliki taraf kebudayaan yang tinggi dalam abad kesembilan belas. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah mengalami perkembangan budaya beberapa abad lamanya. Beliau telah merumuskan bahawa Orang Melayu itu tidak berasal dari mana-mana, tetapi malah merupakan induk yang menyebar ke tempat lain.Manakala Bahasa Jawa ialah bahasa tertua dan bahasa induk daripada bahasa yang lain.

Mengikut Harry Judge (1991 :18), bahasa Melayu telah wujud sejak abad kedua Masihi.Buktinya ialah kewujudan Kerajaan Melayu Campa yang terletak di Vietnam Tengah. Secara logiknya,kerajaan ini wujud kerana ada bangsa menetap di kawasan ini. Kewujudan bangsa telah membuktikan bahawa wujudnya bahasa untuk berkomunikasi.Oleh yang demikian dapat dikatakan bahawa bangsa yang mendirikan kerajaan tersebut dan bahasa yang digunakan dalam kerajaan yang berkenaan.Sehubungan itu, terdapat beberapa penemuan penggunaan bahasa Melayu seperti prasasti.Prasasti yang ditemui bertarikh pada abad ke-4 Masihi.Prasasti ini menggunakan bahasa Melayu Kuno Campa. Sumber ini ditemui di Dong Yen Chau, di Teluk Tourane, Vietnam Selatan. Berdasarkan bahan bukti yang dijumpai,dapat dikatakan bahawa pendiri Kerajaan Melayu Campa ialah bangsa Melayu iaitu Melayu Campa dan begitu juga bahasanya.

2.1.2 Bahasa Melayu Berasal Dari Asia Tengah

R.H. Geldern ialah seorang ahli prasejarah dan menjadi guru besar di Iranian Institute and School for Asiatic Studies telah membuat kajian tentang asal usul bangsa Melayu. Sarjana yang berasal dari Wien, Austria ini telah membuat kajian terhadap kapak tua.

Beliau menemui kapak yang diperbuat daripada batu itu di sekitar hulu Sungai Brahmaputra, Irrawaddy, Salween, Yangtze, dan Hwang. Bentuk dan jenis kapak yang sama, beliau temui juga di beberapa tempat di kawasan Nusantara. Geldern telah membuat kesimpulan bahawa kapak tua tersebut dibawa oleh orang Asia ke tanah Kepulauan Melayu.

Seorang ahli filologi Belanda yang pakar dalam bahasa Sanskrit dan pelbagai bahasa Austronesia yang lain telah membuat kajian berdasarkan beberapa perkataan yang digunakan sehari-hari terutama nama tumbuh-tumbuhan, haiwan, dan nama perahu. Beliau ialah J.H.C. Kern. Beliau mendapati bahawa perkataan yang terdapat di Kepulauan Nusantara ini terdapat juga di Madagaskar, Filipina, Taiwan, dan beberapa buah pulau di Lautan Pasifik .Perkataan tersebut di antaranya ialah padi, buluh, rotan, nyiur, pisang, pandan, dan ubi. Berdasarkan senarai perkataan yang dikajinya itu Kern telah merumuskan bahawa bahasa Melayu ini berasal daripada satu induk yang ada di Asia.

Manakala W. Marsden (1812) pula dalam kajiannya mendapati bahawa bahasa Melayu dan bahasa Polinesia iaitu bahasa yang digunakan di beberapa buah pulau yang terdapat di Lautan Pasifik adalah merupakan bahasa yang serumpun.

J.R. Foster yang membuat kajiannya berdasarkan pembentukan kata berpendapat bahawa terdapat kesamaan pembentukan kata dalam bahasa Melayu dan bahasa Polinesia. Beliau berpendapat bahawa kedua-dua bahasa ini berasal daripada bahasa yang lebih tua yang dinamainya Melayu Polinesia Purba.

Menurut J.R. Logan yang membuat kajiannya berdasarkan adat resam suku bangsa mendapati bahawa ada persamaan adat resam kaum Melayu dengan adat resam suku Naga di Assam yang terdapat di daerah Burma dan Tibet. Persamaan adat resam ini berkait rapat dengan bahasa yang mereka gunakan. Beliau mengambil kesimpulan bahawa bahasa Melayu tentulah berasal dari Asia.

Dua orang sarjana Melayu, iaitu Slametmuljana ( 11-28) dan Asmah Haji Omar (28-29) juga menyokong pendapat di atas. Slametmuljana yang membuat penyelidikannya berdasarkan perbandingan bahasa, sampai pada suatu kesimpulan bahawa bahasa Austronesia yang dalamnya termasuk bahasa Melayu, berasal dari Asia.

Asmah Haji Omar (1985:395) pula telah membuat huraian yang lebih terperinci lagi. Beliau berpendapat bahawa perpindahan orang Melayu dari daratan Asia ke Nusantara ini tidaklah sekaligus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu Tanah Semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui Lautan China.

Namun, beliau menolak pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu dan perbezaan yang berlaku kemudian adalah kerana faktor geografi dan komunikasi. Dengan demikian, anggapan bahawa bahasa Melayu Moden merupakan perkembangan daripada bahasa Melayu Klasik, bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Kuno dan bahasa Melayu Kuno itu asalnya daripada bahasa Melayu Purba merupakan anggapan yang keliru.
Beliau berpendapat bahawa hubungan bahasa Melayu Moden dengan bahasa Melayu Purba berdasarkan skema seperti yang ditunjukkan di dalam rajah 1.1.

Rajah 1.1. Hubungan bahasa Melayu Moden dengan bahasa Melayu Purba

Skema di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu Moden berasal daripada bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Induk. Bahasa Melayu Induk berasal daripada bahasa Melayu Kuno yang juga merupakan asal daripada bahasa Melayu Purba.

2.1.3 Kesimpulan Asal-Usul Bahasa Melayu

Berdasarkan pendapat Geldern tentang hasil kajiannya iaitu kapak tua masih boleh diperdebatkan. Budaya kapak tua yang diperbuat daripada batu sebenarnya bukan hanya terdapat di Asia Tengah dan Nusantara.Budaya yang sama akan ditemui pada semua masyarakat primitif sama ada di Amerika dan juga di Eropah pada zaman tersebut. Lagi pula, secara kebetulan Geldern membuat kajiannya bermula dari Asia kemudian ke Nusantara. Kesimpulan beliau tersebut mungkin akan lain sekiranya kajian itu bermula dari Nusantara, kemudian ke Asia Tengah.

Berbeza pula dengan kajian Kern berdasarkan bukti Etnolinguistik memperlihatkan bahawa persamaan perkataan tersebut hanya terdapat di alam Nusantara dengan pengertian yang lebih luas dan perkataan tersebut tidak pula ditemui di daratan Asia Tengah.Ini menunjukkan bahawa penutur bahasa ini tentulah berpusat di tepi pantai yang strategik yang membuat mereka mudah membawa bahasa tersebut ke barat, iaitu Madagaskar dan ke timur hingga ke Pulau Easter di Lautan Pasifik.

Pendapat Marsden (1812) bahawa bahasa Melayu yang termasuk rumpun bahasa Nusantara serumpun dengan rumpun bahasa Mikronesia, Melanesia, dan Polinesia dengan induknya bahasa Austronesia secara tidak langsung memperlihatkan adanya kekerabatan dua bahasa tersebut yang tidak ditemui di Asia Tengah.

Penyebaran bahasa Austronesia juga terlihat hanya bahagian pesisir pantai timur iaitu Lautan Pasifik, pantai barat, dan Selatan Asia di kawasan Nusantara sahaja dan ia tidak masuk ke wilayah Asia Tengah.

Kesamaan pembentukan kata di antara bahasa Melayu dengan bahasa Polinesia yang dinyatakan oleh J.R. Foster dan kesamaan struktur bahasa Melayu dengan struktur bahasa Kampuchea juga memperlihatkan bahawa bahasa yang berada di Asia Selatan dan Asia Timur berbeza dengan bahasa yang berada di Asia Tengah. Jika kita lihat rajah kekeluargaan bahasa akan lebih nyata lagi bahawa bahasa di Asia Tengah berasal dari keluarga Sino-Tibet yang melahirkan bahasa Cina, Siam, Tibet, Miao, Yiu, dan Burma.

Berdekatan dengannya agak ke selatan sedikit ialah keluarga Dravida, iaitu Telugu, Tamil, Malayalam, dan lain-lain. Kedua-dua keluarga bahasa ini berbeza dengan bahasa di bahagian Timur, Tenggara,dan Selatan Asia, iaitu keluarga Austronesia.

0 ulasan: