MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS

15 September 2009

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

Menurut Amat Juhari Moain (2006:27) , terdapat 5 zaman perkembangan bahasa Melayu.Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu tersebar dan berkembang secara bertahap –tahap iaitu dari zaman ke zaman.Lima zaman tersebut ialah zaman bahasa Melayu Purba, Melayu Kuno, Melayu Klasik, Melayu Pramoden dan Melayu Moden. Secara ringkasnya, berdasarkan pengklasifikasi zaman-zaman perkembangan telah membuktikan bahawa bahasa Melayu berkembang dan mempunyai sejarah penyebarannya.

2.2.1 Zaman Bahasa Melayu Purba

Bahasa Melayu Purba ialah bahasa Melayu yang wujud pada zaman prasejarah.Bahasa ini dikatakan sedemikian kerana tidak ada sejarah bertulis pada masa itu.

Manakala menurut Asmah Haji Omar, Bahasa Melayu Purba dipercayai dituturkan oleh kelompok Melayu Deutro. Mereka menggunakan bahasa ini dalam bentuk lisan. Oleh itu Bahasa Melayu Purba tidak wujud dalam bentuk tulisan.

2.2.2 Zaman Bahasa Melayu Kuno

Menurut Abdul Rashid dan Amat Juhari Moain, (2006 : 27), bahasa Melayu Kuno bermula pada abad ke-4 Masihi. Bahasa Melayu Kuno dikatakan bermula pada abad ke-4 Masihi kerana terdapat beberapa bukti yang telah ditemui di Dong Yen Chau di Teluk Tourane Vietnam yang diperkirakan bertarikh pada abad ke-4 Masihi. Bahan bukti yang ditemui ialah sebuah prasasti.

Berdasarkan maklumat daripada wikipedia bahasa Melayu, bahasa Melayu Kuno wujud setelah menerima pengaruh daripada India. Bahasa Melayu Kuno mencapai kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran. Mereka yang bertutur bahasa Melayu Kuno merangkumi Semenanjung Tanah Melayu , Kepulauan Riau dan Sumatera. Bahasa Melayu Kuno diterima ramai kerana terdapat beberapa ciri yang boleh diterima oleh orang ramai. Antaranya ialah bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu Kuno juga dikatakan tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat. Sehubungan itu, bahasa Melayu Konu juga mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.

Terdapat juga teori yang mengkatakan bahawa berlakunya perkembangan bahasa Melayu iaitu bahasa Melayu Purba menjadi bahasa Melayu Kuno adalah melalui aktiviti perdagangan.Buktinya ialah pada abad pertama, barulah pedagang dari India belayar ke timur menuju Tiongkok dan pedagang Tiongkok pula belayar ke barat menuju India. Pelayaran dua hala ini mengharuskan mereka melalui Selat Melaka. Lama-kelamaan pelabuhan yang ada di Kepulauan Melayu ini bukan sahaja sebagai tempat persinggahan tetapi menjadi tempat perdagangan pedagang India dan Tiongkok seperti yang telah dirintis lebih awal oleh pedagang Arab.

Di samping itu juga para mubaligh terutama mubaligh India turut datang ke Kepulauan Melayu ini untuk menyebarkan agama Hindu. Kedatangan para pedagang dan penyebar agama ini mengakibatkan bahasa Melayu Purba mendapat pengaruh baru. Bahasa Melayu Purba ini kemudian dinamai sebagai bahasa Melayu Kuno.

2.2.2.1 Pengaruh Bahasa Sanskrit dan Hindu dalam Bahasa Melayu Kuno.

Bahasa Melayu Kuno banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Ini adalah kerana kebanyakan masyarakat Melayu ketika itu beragama Hindu dan Bahasa Sanskrit telah menjadi bahasa bangsawan dan mempunyai hierarki yang tinggi. Selain itu, sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan juga antara penyebab bahasa asing seperti sanskrit diterima. Ini boleh dibuktikan daripada pengaruh tulisan atau aksara Pallava dan Devanagari yang datang dari India, kata-kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, rangkai-rangkai kata pinjaman daripada bahasa Sanskrit, dan fonem-fonem Sanskrit.

Kesan daripada bahasa sanskrit ini menyebabkan penambahan kosa kata Bahasa Melayu Kuno. Contoh contoh perkataan yang diambil daripada Bahasa Sanskrit adalah seperti syukasyitta, athava, karana, tatakala dan sebagainya. Bahasa Melayu Kuno tidak mempunyai pengaruh Parsi atau Arab.

2.2.2.2 Penggunaan Bahasa Melayu Kuno

Berdasarkan bahan bukti sejarah yang ditemui, terdapat beberapa batu bersurat yang menggunakan bahasa Melayu Kuno. Batu bersurat telah ditemui di sekitar Sumatera dan Jawa yang memperlihatkan penggunaan Bahasa Melayu kuno pada abad ke-7. Tulisan yang digunakan ialah aksara (alphabet) Pallawa iaitu sejenis tulisan yang berasal dari selatan India. Antara batu bersurat tersebut ialah batu bersurat Kedukan Bukit di Palembang, bertarikh 605 Tahun Saka, bersamaan dengan 683 Masihi. Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava.

Batu Bersurat Talang Tuwo , bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M dan batu, Jawa Tengah yang bertarikh 832 Masihi ditulis dalam huruf Nagiri.Ringkasnya, penemuan batu bersurat ini membuktikan bahawa bahasa Melayu Kuno wujud dan digunakan oleh masyarakat.

2.2.2.3 Ciri-Ciri Bahasa Melayu Kuno

Bahasa Melayu Kuno mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Beberapa kajian telah dijalankan pada bahan bukti iaitu batu bersurat. Tulisan yang terdapat pada batu bersurat tersebut telah dikaji dari aspek bahasanya.

Berdasarkan kajian tersebut, bahasa Melayu jelas memperlihatkan pengaruh bahasa Sanskrit, terutama dari segi kata-kata pinjaman. Hal ini terjadi kerana pada waktu itu bahasa Melayu tidak mempunyai kata-kata yang sesuai untuk memperkatakan perkara-perkara dan konsep-konsep baru yang dibawa dari kebudayaan asing. Oleh itu bahasa Melayu terpaksa meminjam daripada bahasa masyarakat yang membawa konsep-konsep baru itu. Contoh contoh perkataan yang diambil daripada bahasa Sanskrit adalah seperti syukasyitta, athava, karana, tatakala dan sebagainya.

Bahasa Melayu itu kebanyakannya ditulis oleh raja. Oleh itu dapat dibuat kesimpulan bahawa bahasa Melayu kuno telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa untuk urusan pemerintahan di istana.Bahasa Melayu kuno juga telah tersebar luas dan berfungsi sebagai lingua franca.Selain itu bahasa Melayu kuno juga bersifat kosmopolitan, keranan menerima pengaruh dari luar terutama pengaruh bahasa Sanskrit.

2.2.3 Definisi Bahasa Melayu Klasik

Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan oleh pengkaji bahasa .Antaranya ialah Asmah Hj.Omar (1985:33), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”.

Menurut Ismail Hussein (1984:24), “pembahagian yang dibuat oleh adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu. Hal ini dapat dibahagikan mengikut zaman politik Srivijaya, Majapahit, Melaka, dan sebagainya, pengaruh kebudayaan seperti Hindu, Islam, dan Barat atau mengikut zaman tulisan yang digunakan seperti tulisan Melayu Kuno yang diambil dari India, tulisan Arab, dan akhir sekali tulisan Latin. Contohnya pada zaman politik Srivijaya, masyarakatnya yang beragama Hindu dan Buddha, menggunakan tulisan yang dibawa dari India, sasteranya dipenuhi oleh cerita-cerita sastera India dan bahasa Melayunya, dengan pinjaman kata-kata Sanskrit.

2.2.3.1 Sejarah Bahasa Melayu Klasik

Doktor Zaitul Azma telah mengatakan bahawa perkembangan bahasa Melayu Klasik mempunyai perkaitan dengan perkembangan karya sastera. Perkembangan kesusasteraan memberikan gambaran tentang sejarah silam sesuatu bangsa dari segi kebudayaan,dan keperibadian bangsa .

Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan. Seiring dengan kemunculan bahasa Melayu Klasik, pengaruh Hindu dilihat mula hilang sedikit demi sedikit sehinggalah ke abad ke-15.

Bahasa Melayu Klasik mula berkembang pada abad ke -13 dan ke -14. Buktinya ialah penemuan beberapa buah prasasti. Ketika itu juga bahasa Melayu Klasik telah digunakan sebagai lingua –franca iaitu zaman kerajaan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu Klasik ini jelas dalam aktiviit perdagangan dan penyebaran agama Islam.

Bukti tentang penyebaran agama islam menggunakan bahasa Melayu Klasik adalah penghasilan kitab-kitab agama. Antara kitab yang dihasilkan ialah Furu’ Al-Masa’il oleh Syed Muhammad Daud Al-Fatani,dan Sabil Al-Muhtadin oleh Syed Muhammad Arsyad Al-Banjari .Kandungan kitab-kitab ini adalah mengenai agama seperti al- Hadith, feqah, tafsir al-quran, tasawuf, di samping sejarah, hikayat, hal ehwal haiwan, perdukunan, perubatan Melayu, bintang dua belas, pentadbiran dan pemerintahan, falsafah dan pengembaraan.

Secara ringkasnya bahasa Melayu Klasik meluas dalam kalangan orang bukan Melayu dari kelompok Asia, juga dalam kelompok orang Eropah dan Asia Barat yang datang ke Asia Tenggara.

2.2.3.2 Permulaan Zaman Bahasa Melayu Klasik

Mengikut Dr. Zaitul Azma bt Zainon Hamzah, pada abad ke -13 pengaruh agama Islam menjadi makin dominan di Nusantara. Perkembangan agama Islam membawa bersama-samanya bahasa Arab.

Zaman ini memperlihatkan kemasukan perkataan Arab dan tulisan Jawi yang menggunakan huruf-huruf Arab. Secara ringkasnya evolusi tahap kedua berlaku kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu berkembang dengan pesat melalui peminjaman perkataan Arab dan Parsi. Di samping itu, bahasa Melayu juga mula berkembang dengan bahasa-bahasa dari Barat seperti Portugis, Inggeris, dan Belanda.

Menurut Ismail Hussein (1984:25), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14. Tetapi beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu dengan kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang bertapaknya Islam di Nusantara dari sudut sejarah diperoleh pada tahun 1292 M sewaktu Marco Polo melawat Sumatera Utara dan catatannya tentang pengislaman Pasai.

Pada zaman peralihan dalam abad ke-13 dan ke-14 telah dijumpai beberapa prasasti dalam bahasa Melayu yang ditulis menggunakan huruf India tetapi bahasanya sudah terdapat pengaruh bahasa Arab. Di sini bermulanya bahasa Melayu klasik.

Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu Melaka. Bahasa Melayu menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam.

Ketika itu juga bahasa Melayu mendapat tulisan baru, iaitu tulisan Jawi, iaitu dengan meminjam dan menyesuaikan abjad bahasa Arab. Sebelumnya, pada tahap bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu menggunakan dua jenis tulisan, iaitu tulisan rencong dan lampung yang tidak terpengaruh oleh tulisan dari India walaupun bahasa Sanskrit sudah bertapak di Nusantara.Tulisan yang disesuaikan dengan tulisan Pallava dan Nagiri seperti yang terdapat pada batu-batu bersurat antara abad ke-7 hingga abad ke-14.

2.2.3.3 Perkembangan Bahasa Melayu Klasik

Kedatangan pengaruh agama Islam dan bahasa Arab,telah menyebabkan bahasa Melayu melangkah setapak lagi dengan satu lagi tulisan, iaitu tulisan Jawi. Bahasa Melayu Klasik mula pada abad ke-16 sampai pula pengaruh dari Barat dengan kedatangan penjajah dari Eropah seperti Portugis, Belanda, dan Inggeris. Sekali lagi bahasa Melayu bertembung dengan bahasa dan kebudayaan yang baru yang turut mempengaruhi bahasa Melayu.

Amat Juhari Moain ( 1992:1062) tulisan rumi mula digunakan dengan penggunaan yang pertama dalam bahasa Melayu oleh David Barbosa pada tahun 1516 Masihi setelah Melaka ditawan oleh Portugis, kemudian pada tahun 1521 Masihi seorang pengembara Itali, Antonio Pigfafetta membuat catatan perkataan Melayu dalam tulisan rumi dengan padanannya dalam bahasa Itali.

Dengan senario itu, bahasa Melayu Klasik mencakup zaman antara abad ke-14 hingga abad ke-19, dengan abad ke-12 dan ke-13 sebagai zaman peralihan antara tahap bahasa Melayu Kuno dengan tahap bahasa Melayu klasik. Bahasa Melayu klasik dapat disimpulkan sebagai bahasa yang digunakan dalam kesusasteraan, pemerintahan dan undang-undang, agama, sejarah, perdagangan, dan perhubungan iaitu budaya dan kemasyarakatan.

Ringkasnya kosa kata daripada bahasa Arab banyak digunakan. Penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Misa Melayu, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak lagi karya yang ditulis dalam tulisan Jawi.

2.2.3.4 Zaman Kegemilangan Bahasa Melayu Klasik

Berdasarkan bahan yang di akses, didapati ada tiga zaman kegemilangan bahasa Melayu Klasik. Antaranya ialah zaman kerajaan Melaka, Acheh dan zaman kerajaan Johor –Riau. Ketika zaman tersebut terdapat beberapa orang tokoh penulis. Buktinya ialah pada zaman kerajaan Acheh. Antara tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.

2.2.3.5 Ciri-Ciri Bahasa Melayu Klasik

Dari Wikipedia bahasa Melayu Klasik, telah menyatakan beberapa ciri-ciri bahasa Melayu Klasik. Namun demikian cirri-ciri yang dinyatakan adalah lebih mencirikan bahasa Melayu Klasik dari aspek perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan. Antara ciri –ciri tersebut ialah ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit. Ayat yang digunakan kebanyakkannya ialah ayat pasif dan songsang.Ketika itu juga banyak menggunakan laras bahasa istana.

Manakala terdapat perbezaan dalam mengklasifikasi ciri-ciri bahasa Melayu Klasik bagi Dr. Zaitul Azma bt Zainon Hamzah. Beliau telah membahagikan ciri tersebut kepada beberapa aspek iaitu aspek sistem tulisan,kosa kata dan tatabahasa.

Dr. Zaitul Azama mengatakan bahawa dalam bahasa Melayu Klasik terdapat penggunaan kata pangkal ayat yang agak klise atau usang. Penggunaan kata pangkal ayat ini agak meluas. Contoh kata pangkal adalah seperti "syahadan", "maka", "alkisah", "hatta", "arakian", "kata sahibul hikayat", "maka, tatkala" dan "adapun. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan. Penulisan dalam bahasa Melayu moden tidak memperlihatkan penggunaan kata pangkal ayat yang sedemikian.

Manakala dari aspek struktur ayat pula, bahasa Melayu Klasik agak berbeza dengan bahasa Melayu Kuno kerana struktur ayatnya panjang-panjang, berulang-ulang dan berbelit-belit.Terdapat juga gabungan beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya "dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik seperti ayat berikut Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik”.

Dalam bahasa Melayu Klasik juga, terdapat perubahan dari aspek bentuk ayat yang digunakan. Bentuk ayat yang lebih lumrah digunakan, ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Sebagai contoh, “Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim ……”

Selain itu, dalam bahasa Melayu Klasik juga banyak menggunakan partikel “pun”dan “lah”.Contoh perkataan yang digandingkan dengan partikel ialah seperti “adapun, bertitahlah,dan berebutlah”. Manakala contoh penggunaan partikel dalam ayat pula ialah seperti berikut ““Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya” dalam Sejarah Melayu.

Sehubungan itu terdapat pengaruh daripada beberapa bahasa lain dalam bahasa Melayu Klasik kerana di kepulauan Melayu ketika itu bahasa Arab dan Sanskrit bertapak kukuh lantaran aktiviti perdagangan dan penyebaran agama islam.Contoh penggunaan bahasa Arab ialah “Allah Taala, makhdum, mualim daulat, wallahualam, takzim. Bagi bahasa Sanskrit pula ialah “dosa,pahala,dan raja” . Bahasa Melayu Klasik juga menerima fonem Arab seperti ‘kh’, ‘dz’, dan ‘sy’. Contoh perkataan seperti “khamis, zakat, syarat”.

Menurut Dr. Zaitul Azma bt Zainon Hamzah, bahasa Melayu klasik lebih bersifat "bahasa istana". Ini amat ketara dari segi penggunaan perkataan dan sistem panggilannya. Contohnya ialah sembah, beta, titah, berangkat, dan gering.” Penggunaan ini adalah disebabkan kebanyakan hasil penulisan bahasa Melayu klasik adalah dalam bentuk karya sastera, yang menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja di istana.

Bahasa melayu Klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan serta penggunaan laras bahasa puisi, seperti pantun, syair, seloka dan gurindam dalam karya prosa. Buktinya ialah terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana penceritaan.

2.2.4 Zaman Bahasa Melayu Pramoden

Menurut Amat Juhari dan Abdul Rashid Melebek ( 2006 : 32 ), bahasa Melayu Pramoden bermula pada abad ke -19. Buktinya ialah kedatangan pendatang luar ke Asia Tenggara untuk menguasai Asia Tenggara.Pendatang bangsa barat ini bukan sahaja menguasai ekonomi, tetapi politik. Bagi mengukuhkan kedudukan di tanah Melayu, mereka telah mengkaji bahasa dan budaya pribumi. Hasil kajian ini telah mewujudkan pusat-pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan budaya pribumi terutama Melayu. Manuskrip-manuskrip Melayu dan bahan-bahan tinggalan sejarah,budaya dan sastera Melayu telah dikumpulkan di perpustakaan- perpustakaan barat ini.

Dalam masa yang sama,perkataan-perkataan daripada bahasa barat seperti Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu. Proses ini berlaku secara sedikit demi sedikit. Kesan penyerapan bahasa ini telah mengakibatkan kegiatan penulisan Melayu mula menggusur dari istana-istana raja seperti dalam zaman bahasa melayu Klasik ke dalam masyarakat umum.Dengan kata lain, kegiatan penulisan dalam bahasa Melayu sudah mula memasyarakat dan merakyat.

Zaman bahasa Melayu Pramoden ini juga, terdapat banyak hasil penulisan seperti buku “Sejarah Melayu, Taj al- Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain.Selain itu, zaman ini turut mencetak banyak kitab –kitab agama di Asia Tenggara. Abdul Rashid Melebek (2006 : 33 ) juga mengatakan bahawa berlakunya beberapa peristiwa pada abad ke -19. Antaranya ialah pertembungan budaya Melayu dengan Barat, perkembangan teknologi cetak ,serta perkembangan perhubungan yang lebih mudah telah menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh Barat.Oleh yang demikian,perkembangan ini bagaikan wahana yang menyebabkan bahasa Melayu diresapi oleh unsur-unsur Barat sehingga berlaku beberapa perubahan pada bahasa Melayu.

2.2.5 Zaman Bahasa Melayu Moden

Berdasarkan laman web wikipedia dan tutor, telah menyatakan bahawa zaman bahasa Melayu Moden telah mula pada abad ke-19 iaitu setelah kedatangan penjajah Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.Sebelum penjajahan British, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan. Namun semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Buktinya ialah dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Selain itu, dalam Laporan Razak 1956 juga telah mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.

Manakala menurut Amat Juhari (2006 : 34 ) bahasa Melayu berubah sedikit demi sedikit untuk menuju ke bentuk yang baharu iaitu bahasa Melayu Moden.Peluang ini cerah apabila mencecah ke abad ke-20. Buktinya ialah negeri-negeri dan kesultanan melayu tetap menggunakan bahasa Melayu dalam urusan pemerintahan negerinya terutamanya yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam. Ketika itu juga sekolah-sekolah Melayu juga dibuka dengan lebih banyak lagi sama ada dalam pemerintahan Inggeris mahupun yang dalam pemerintahan Belanda.

Sehubungan itu, dari aspek media perkembangan bahasa Melayu pula, seperti syarikat percetakan telah banyak didirikan. Maka banyak buku,majalah, jurnal dan akhbar berbahasa Melayu yang dicetak di tanah jajahan Inggeris dan Belanda di Asia Tenggara. Situasi ini telah menyebabkan bahasa Melayu secara langsung menjadi bahasa perantaraan di Asia Tenggara.

Pada tahun 1957, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kebangsaan dan salah satu bahasa rasmi negara Malaya Merdeka. Manakala pada tahun 1967, bahasa Melayu telah menjadi bahasa rasmi tunggal bagi negara Malaysia.Bagi meningkatkan penggunaan bahasa Melayu banyak akhbar, buku, majalah dan jurnal berbahasa Melayu diterbitkan sama ada di Malaysia, Indonesia dan Singapura terutamanya selepas Perang Dunai Kedua.

Lantaran itu, pelbagai usaha telah dijalankan bagi memajukan bahasa serta menigkatkan kemampuannya dalam menghadapi zaman moden. Antara langkah yang dijalankan untuk memodenkan bahasa Melayu ialah perancangan korpus bahasa Melayu.Perancangan korpus ini telah diterajui oleh Pakatan Belajar –Mengajar Pengetahuan Bahasa. Mereka memulakan perancangan korpus bahasa iaitu dengan menyusun panduan ejaan,kamus,tatabahasa ,tanda-tanda bacaan,surat kiriman,dan peristilahan.

Sejurus selepas itu muncullah badan perancangan daripada persatuan dan lembaga yang dikelolakan oleh kerajaan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan adanya usaha-usaha ini maka dapat diatur dan dibakukan sistem ejaan,peristilahan ,tatabahasa,perkamusan,sebutan ,laras dan lain –lain yang berkaitan dengan bahasa Melayu.Bagi mengukuhkan usaha-usaha ini maka berbagai-bagai kongres dan seminar tentang bahasa dan sastera Melayu telah diadakan.Contohnya ialah Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu dimulai pada tahun 1952 hingga 1984 iaitu Kongres yang keempat.

Kesimpulannya,dengan adanya kegiatan-kegiatan seumpama di atas ini, maka bahasa Melayu terus melonjak naik kemampuannya sehingga menjadi bahasa moden yang digunakan sebagai bahasa pengantar di institusi pengajian tinggi, dan tulisan ilmiah.

0 ulasan: