MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU,MEMANTAPKAN BAHASA INGGERIS

27 Mei 2009

PERSOALAN TENTANG AYAT DASAR

Sejauh manakah ayat dasar boleh terbit dengan hanya satu perkataan untuk subjek dan satu perkataan untuk predikat?

Isu ini jarang sekali dikemukan,tetapi jika ditanya benar atau tidak ayat dasar boleh bersifat sedemikian. Bagi saya, jawapannya ialah "Ya". Sebelum menerangkan mengapa saya mengatakan ya,terlebih dahulu, cuba faham konsep ayat dasar serta bentuk dan sifat frasa - frasa yang membentuk ayat dasar iaitu merujuk kepada pola -pola utama dalam ayat dasar.

Ayat Dasar
Ayat dasar ialah ayat yang menjadi dasar atau sumber bagi membentukan semua ayat lain dalam sesuatu bahasa. Terdapat berbagai-bagai jenis ayat dasar daripada segi binaan dan susunannya, serta sepi panjang pendeknya dalam sesuatu bahasa. Ayat dasar mempunyai pola yang tersendiri.

Pola Ayat Dasar Bahasa Melayu

FN + FN
FN + FK
FN + FA
FN + FSN

Berdasarkan pola ayat dasar, dapat dibuktikan bahawa ayat dasar boleh terdiri hanya daripada satu perkataan untuk subjek dan predikat kecuali untuk binaan pola FN + FSN.

Bukti 1 : FN + FN

Subjek + Predikat
Arisa guru.

  1. Perhatikan ayat di atas, dan cuba analisis dari aspek binaan subjek dan predikat serta daripada aspek makna ayat tersebut.
  2. Frasa Arisa yang menjadi konstituen subjek merupakan frasa nama. Manakala frasa guru juga merupakan frasa nama.
  3. Daripada aspek semantik, ayat tersebut mempunyai makna dan lengkap.

Bukti 2 : FN + FK

Subjek + Predikat
Ayah tidur.

  1. Subjek ayat adalah frasa nama dan predikat ialah frasa kerja tak transitif yang tak berpelengkap.
  2. Ayat ini lengkap daripada aspek makna.
  3. Ayat ini boleh diperluaskan dengan menambah unsur keterangan pada binaan predikat iaitu frasa kerja. Ini kerana frasa kerja tidur merupakan kata kerja tak transitif tak berpelengkap yang boleh menerima unsur keterangan.
  4. Secara ringkasnya, jika unsur frasa kerja adalah frasa kerja transitif, maka akan wujud dalam dua bentuk, iaitu dengan dua objek atau satu objek. Keadaan ini berlaku kerana frasa kerja transitif mengandungi objek dan tidak boleh berdiri sendiri, malah daripada aspek makna adalah tidak lengkap.

Bukti 3 : FN + FA

Subjek + Predikat
Adik nakal.

  1. Bagi ayat di atas, ternyata pola ini subjek dan predikatnya boleh terdiri daripada satu perkataan.
  2. Binaan ini boleh diperluaskan dengan frasa adjektif yang menerima unsur keterengan,penguat dan kata bantu.

Bukti 4 : FN + FSN

Subjek + Predikat
Dia ke kampung.

  1. Bagi pola di atas, subjeknya boleh terdiri daripada hanya satu perkataan, tetapi predikatnya tidak.
  2. Ini berlaku kerana binaan frasa sendi nama itu sendiri yang terbina dengan kata sendi dan frasa nama.
  3. Kata sendi juga tidak boleh membentuk frasa sendi nama tanpa unsur frasa nama.
  4. Oleh yang demikian unsur predikat yang terbina daripada frasa sendi nama tidak boleh hanya satu perkataan .

0 ulasan: